Selamat Datang...Anda Dialu-alukan..Ke Galeri Sejarah...SMK.PASOH DUA
bannermerdeka

SEJARAH SMKP2


SEJARAH SMK PASOH DUA

Sekolah Menengah Pasoh 2 atau nama ringkasnya SMKPD (FELDA) telah diasaskan pada bulan Januari 1981. Tn. Hj. Asmaon Bin Hj. Salikin menjadi pengetua pertama sekolah ini. Mulai bulan Januari 1981 hingga 31 Mei 1981 pelajar perintisnya ialah seramai 103 orang telah menumpang di Sekolah Kebangsaan Pasoh Dua kerana bangunan sekolah masih belum siap.


SMKPasoh2 Indah dan Cantik


Dataran Perhimpunan


Cadangan pembinaan sekolah telah pun disyorkan pada peringkat awalnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda Pasoh Dua di dalam mesyuarat kali ke tiganya pada tahun 1979. Cadangan ini juga telah di sokong oleh Jawatankuasa Biro Pendidikan UMNO Bahagaian Jelebu. Cadangan pembinaan disyorkan oleh JKKR Felda Pasoh Dua memandangkan kerumitan yang timbul untuk menghantar anak-anak peneroka Felda Pasoh Dua ke peringkat sekolah Menengah. Kedudukan Felda Pasoh yang jauh di pedalaman, perhubungan di antara Felda Pasoh Dua dengan kawasan lain agak sukar kerana tidak ada perkhidmatan bas penumpang.



Pada 18.12.80, bangunan pentadbiran yang bernilai RM868,000 telah siap dibina. Bangunan ini mempunyai 10 buah kelas, sebuah bilik guru, sebuah perpustakaan, tiga buah makmal, sebuah pejabat pentadbiran dan sebuah bilik gerakan. Selain sebuah bangunan Pentadbiran tiga tingkat dan sebuah kantin, bengkel seni perusahaan juga dibina. Pada peringkat awal bangunan sekolah ini tidak mempunyai bekalan elektrik. Oleh itu, sebuah generator elektrik telah dibekalkan.



Pada peringkat awalnya, Sekolah Menengah Pasoh Dua ini menerima Murid dari 3 buah sekolah kebangsaan yang berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan Air Hitam, Sekolah Kebangsaan Pasoh Tiga dan Sekolah Kebangsaan Pasoh Dua.



Pertambahan murid semakin dirasakan dari setahun ke setahun. Oleh yang demikian akhir tahun 1989 sebuah bangunan yang mengandungi empat buah kelas, dua buah rumah guru telah dibina secara gotong-royong yang bernilai RM76,000.



Pada bulan Julai 1990 sebuah bangunan Pusat Sumber telah dibina. Bangunan dua tingkat ini menempatkan Pusat Sumber, Bilik Tayangan, Bilik Komputer dan 5 buah kelas yang boleh dibuka untuk dijadikan dewan.


SEJARAH PENTADBIRAN


Sejak 1981 hingga 1999 sekolah ini telah mempunyai tiga orang pengetua. Yang pertama ialah Tn. Hj. Asmaon bin Hj. Salikin, kedua ialah En. Abd. Jabar bin Kasim dan yang masih lagi bertugas di sini ialah En. Abu Bakar bin Hasan.


Guru-guru yang berkhidmat di sekolah ini pada masa sekarang ialah seramai 39 orang. Bilangan kakitangan Bukan Akedemik pula ialah seramai 12 orang termasuk seorang kerani, 2 orang pembantu makmal dan 9 orang Pembantu Am.


Pentadbiran sekolah ini juga dibantu oleh Ahli Lembaga Pengelola Sekolah yang terdiri daripada empat orang iaitu Tuan Syed Othman b. Syed. Hassan, En. Mohamad b. Jaaman, En. Muhamad b. Ahmad dan En. Zainal b. Yahya.


AKADEMIK.


Walaupun Sek. Men. Pasoh 2 ini terletak di sebuah kawasan FELDA, pencapaiannya di dalam bidang pelajaran setanding dengan pencapaian sekolah-sekolah di bandar.


Untuk memenuhi cita-cita wawasan 2020 SMP.2 mula mengorak langkah yang positif melahirkan insan yang bermoral dan berpengetahuan. Oleh yang demikian, SMP. 2 telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan memulakan pengajaran komputer. Sekolah ini telah dibekalkan sebanyak 20 komputer untuk memberi pengetahuan kepada pelajar-pelajar. Pelajar perintisnya ialah pelajar Tingkatan 1 tahun1992. Mereka ini diajar pengetahuan komputer dengan secukupnya.


Pihak sekolah menyediakan beberapa kemudahan kepada pelajar-pelajar untuk mengembangkan bakat, minat dan kecenderungan masing-masing menerusi kegiatan kokurikulum, ke arah membentuk pelajar-pelajar sekolah ini menjadai manusia yang berhemah tinggi, dapat mematuhi peraturan, menghormati dan menghargai kejayaan orang lain serta merasakan mereka adalah penting di dalam setiap bidang yang mereka ceburi.


Di dalam bidang sukan, sekolah ini pernah munjul sebagai Johan dalam permainan Takraw bawah 15 tahun pada tahun 1990 dan 1991. Di dalam permainan Bola Sepak , pasukan sekolah ini pernah muncul Naib Johan peringkat Daerah Jempol pada tahun 1987 dan 1988 dan seorang pemain sekolah ini telah dipilih untuk mewakili Negeri Sembilan bawah 15 tahun. Selain itu, Pasukan Bola baling sekolah telah muncul sebagai Johan Daerah Jempol pada tahun 1993 dan pasukan Bola Baling bawah 15 tahun ini juga muncul tempat keempat di peringkat Negeri. Seramai empat orang pemain telah terpilih mewakili Negeri Sembilan.


Seperti sekolah-sekolah lain, pelajar-pelajar sekolah ini juga digalakkan berkoperasi. Koperasi sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1990 dengan bilangan ahli seramai 238 orang. Setiap ahli membeli satu unit saham bernilai RM 1.00 dan guru-guru membeli 10 unit saham. Setiap tahun bilangan ahli meningkat dan keadaan ini menjadikan Koperasi sekolah ini bertambah maju dan kukuh.


Sekolah ini juga merupakan sebuah sekolah yang baru dilahirkan di kawasan FELDA gugusan Pasoh ini, maka ia belum mampu untuk melahirkan tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang. Namun demikian beberapa orang bekas pelajarnya telah berjaya dalam profesion masing-masing seperti guru,pensyarah, pegawai bank dan lain-lain.



PENUTUP.

Walaupun sekolah ini merupakan sebuah sekolah di Rancangan FELDA, namun ia telah mempunyai identitinya yang tersendiri. Perkembangan yang menggalakkan adalah hasil kerjasama semua pihak. Perkembangan di dalam bidang akedemik dan kokurikulum ini akan terus memenuhi impian rakyat dan negara menuju Wawasan 2020.


SENARAI PENGETUA SMK. PASOH 2

1981-1990 - TN HJ. ASMAON BIN HJ. SALIKIN
1990-1994 - EN. ABD.JABAR B. KASIM
1995-1999 - TN. HJ. ABU BAKAR B. HASAN
1999-2006 - EN. ROSLI B. MOHD SAMAN
2006-MEI 2007- EN. ABD. HALIM B. MD.YUNUS
JUN 2007 - MEI 2011 - EN. HAMIDON B. HJ. KHALID
MEI 2011 - PN. ZAWAKHIR BT. SHAHROUN

No comments:

Post a Comment